TIME MANAGEMENT - BY OSMAN AFFAN

Semalam saya ada terangkan tentang program pengurusan masa yang saya jalankan di Universiti Islam Antarabangsa. Saya ada terangkan bahawa satu masalah yang ketara dalam menguruskan masa ialah apabila tiba waktu belajar, anda tidak terasa hendak belajar langsung. Dalam kata lain, anda tidak ada ‘mood’ untuk belajar. Perkara ini akan membuat anda sukar untuk menyiapkan sebarang kerja. Saya juga telah terangkan langkah pertama dalam menguruskan masa berdasaran matlamat anda. Saya ada suruh anda cari subjek yang anda rasa paling lemah dan luangkan lebih banyak masa pada subjek tersebut. Hari ini saya akan terangkan tentang langkah kedua pula.

Langkah kedua – Cari masa yang terluang
Kebanyakan pelajar yang tidak dapat menguruskan masa mereka mengadu bahawa mereka terlalu sibuk hingga tidak mempunyai masa langsung untuk belajar dengan tenang. Kata mereka, dari pagi hingga tengahari, mereka sibuk di sekolah. Selepas waktu sekolah, mereka sibuk pula dengan aktiviti-aktiviti kurikulum seperti persatuan, badan beruniform atau aktiviti-aktiviti kelab sekolah. Pada waktu petang pula, mereka terlibat dalam kegiatan sukan atau mereka mereka mahu menenangkan fikiran dengan berjalan-jalan atau bermain dengan kawan-kawan.
Pada waktu malam, pelajar sibuk dengan aktiviti mengaji atau ada yang perlu menghadiri tuisyen. Aktiviti ini selalunya berakhir pada pukul 10 atau 11 malam. Selepas itu, mereka sudah merasa penat dan tidak boleh belajar lagi. Mereka tidak boleh siapkan kerja sekolah atau membaca topik baru yang disuruh guru mereka di sekolah tadi. Akibatnya, mereka selalu dimarahi guru kerana tidak siap kerja sekolah dan pecapaian mereka dalam bidang akademik pula semakin menurun. Adakah anda juga merasa begini?

Benar, apa yang saya terangkan tadi adalah perkara biasa yang boleh kita lihat berlaku setiap hari kepada para pelajar. Di Kuala Lumpur, saya lihat pelajar sekolah rendah juga begitu sibuk sepanjang hari terutamanya pelajar yang perlu menghadiri sekolah agama pada waktu petang. Apakah yang boleh anda lakukan untuk mencari masa yang terluang agar anda dapat membuat kerja sekolah, mengulangkaji dan dan merasa tidak terlalu penat?
Satu perkara yang anda perlu tahu, dalam pengurusan masa, setiap masa yang ada adalah sangat berharga. Untuk mencari masa anda yang terluang, anda perlu kaji sedalam-dalamnya masa yang anda gunakan setiap hari.

Mari kita mulakan dengan masa anda di sekolah. Sebenarnya, walaupun anda ada kelas dari pagi hingga tengahahari atau petang, banyak masa yang terluang di dalamnya. Contohnya, kadangkala cikgu anda terlewa masuk kelas kerana ada mesyuarat atau perjumpaan. Kadangkala ada cikgu yang tidak masuk ke kelas kerana semua guru ada perjumpaan. Ini merupakan masa yang terluang untuk anda. Biasanya apa yang anda lakukan apabila tidak ada guru di dalam kelas begini? Kebiasaannya, saya lihat pelajar akan membuat bising, berlari ke sana ke mari dan bermain-main sesama mereka. Bukankah anda sudah kerugian masa di sini?

Saya biasa melihat sahabat-sahabat saya yang rajin belajar semasa saya bersekolah di Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang dulu. Mereka akan buat kerja sekolah mereka apabila guru tidak ada atau semasa mereka menunggu guru masuk ke kelas. Pada waktu rehat pula, selepas mereka makan, mereka akan cuba siapkan kerja sekolah mereka secepat mungkin.
Pernah saya bertanya kepada sahabat-sahabat saya ini kenapa mereka asyik mengejar masa di sekolah untuk menyiapkan kerja sekolah mereka. Padahal, mereka boleh siapkan semasa di asrama nanti. Jawab mereka, jika semua kerja sekolah sudah disiapkan awal, mereka akan ada masa untuk membuat ulangkaji sendiri terutama subjek-subjek yang mereka rasa lemah. Kata mereka lagi, jika kerja sekolah sudah siap, mereka akan rasa lebih tenang semasa mengulangkaji kerana tidak perlu bimbang dimarahi guru nanti.

Jadi, andaperlu melakukan perkara yang sama. Hari ini, cari di mana agaknya anda boleh curi masa untuk melakukan kerja-kerja anda supaya anda banyak ada banyak masa lain untuk mengulangkaji pelajaran anda.

0 comments:

Copyright © 2008 - EXAM TIPS - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template